Nasib PPSMI Pengajaran_dan_Pembelajaran_Sains_dan_Matematik_dalam_Bahasa_Inggeris

Rencana utama: Pemansuhan PPSMI

Sepanjang separuh kedua tahun 2008, Kementerian Pelajaran telah mengadakan lima sesi persidangan meja bulat di kalangan ahli-ahli akademik, persatuan ibu bapa dan guru, kesatuan perguruan dan pertubuhan bukan kerajaan, untuk mengkaji semula dasar PPSMI dan dijangka mengambil keputusan terhadap PPSMI pada hujung tahun, berdasarkan keputusan UPSR dan faktor-faktor lain.[46] Di sidang terakhir pada bulan Disember, usul-usul yang dikemukakan para hadirin persidangan dikumpul menjadi tujuh pilihan berkenaan nasib dasar ini, iaitu:[47]

  • Meneruskan PPSMI seperti sedia ada;
  • Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah;
  • Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah;
  • Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah;
  • Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah;
  • Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah; dan
  • Memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lain.

Pada 8 Januari 2009, Datuk Hishamuddin berkata keputusan muktamad mengenai nasib PPSMI hanya akan dicapai pada "tahun hadapan", walaupun hampir selesai mengkaji segala maklum balas yang dikumpul.[48]

Setelah Dato' Seri Najib Tun Razak mengambil alih tampuk pentadiran negara selaku Perdana Menteri pada bulan April, timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menjadi Menteri Pelajaran Malaysia yang baharu. Pada bulan Mei, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau masih belum puas hati dengan yang hasil kajian yang pernah dilakukan dan dibentangkan di sesi perbincangan meja bulat, oleh itu tidak dapat mencapai kata putus mengenai nasib dasar PPSMI[49], sebaliknya masihmembuka pintu kepada kajian dan memorandum baru oleh semua pihak mengenai isu ini.[50]

Akhirnya pada 8 Julai 2009, Menteri Pelajaran Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan dasar PPSMI diberhentikan mulai tahun 2012 setelah melakukan kajian mendalam.[1]. Dalam pada itu Tun Mahathir Mohamad memberi reaksi tidak puas hati, lalu mengadakan undian isu tersebut di blognya bagi menguji sikap terhadap dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).[51] Hasilnya dari 100,024 undi, 86% penjawab mengundi tidak kepada soalan sama ada matapelajaran sains dan matematik harus kembali ke bahasa kebangsaan sebagai pengantar.[52]

Bagaimanapun, pada 9 Ogos, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan para pelajar yang memulakan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris boleh meneruskannya hingga tamat sekolah menengah[53] sekaligus menundakan pemansuhan sepenuhnya PPSMI ke tahun 2014. Sehubungan dengan itu, beliau memperkenalkan dasar MBMMBI (Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris) sebagai ganti PPSMI yang memberi tumpuan kepada peningkatan pembelajaran matapelajaran bahasa-bahasa, sambil mengaku bahawa kerajaan tidak akan kembali ke dasar PPSMI.[54] Pada masa yang sama, kerajaan berdepan dengan gesaan agar sekolah berbahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dikembalikan dalam sistem pendidikan negara demi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan anak-anak Malaysia.[55]

Pada 7 Mei 2010, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan yang difailkan pada 21 Januari 2006 oleh empat orang pelajar, termasuk Mohammad Syawwaal Mohammad Nizar (anak lelaki Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin), agar mengisytiharkan PPSMI sebagai batal dan tidak sah, setelah hakim memutuskan bahawa "dua surat pekeliling ikhtisas berhubung pelaksanaan PPSMI di sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan (Cina dan Tamil) adalah tidak bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan."[56]

Sekitar masa kontoversi PPSMI memuncak, wujudnya sebuah pertubuhan penyokong PPSMI, bernama Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) yang memperjuangkan PPSMI supaya dijadikan pilihan untuk sekolah-sekolah yang ingin menyambung pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Atas tujuan tersebut, mereka menghantar memorandum kepada kerajaan pada 19 Januari 2011.[57] Tegas Pengerusi PAGE Datin Noor Azimah Abdul Rahim, "pencapaian cemerlang" pelajar dalam peperiksaan awam yang diambil oleh pelajar yang menjalani PPSMI pada tahun 2010 membuktikan keberkesanan dasar tersebut, malah penguasaan Bahasa Kebangsaan di kalangan pelajar tidak terjejas pula oleh pelaksanaan dasar tersebut.[57] Tambahnya pula, PPSMI tidak pernah mendukung gagasan pembelajaran bahasa Inggeris menerusi Sains dan Matematik, sebaliknya bertujuan membantu pemerolehan ilmu dalam bahasa Inggeris selaku lingua franca ilmu sains dan matematik.[58] Bagaimanapun kajian tempatan itu tidak mengambil kira dapatan kajian antarabangsa dalam "Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007)".[59] Kajian tersebut dibuat oleh Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat. Hasil kajian menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam matematik dan sains merosot dengan ketara. Skor matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, iaitu penurunan sebanyak 34 mata. Skor sains pula merosot kepada 471 mata pada 2007 daripada 510 pada 2003 dan 492 bagi kohort 1999. Ini mencatatkan penurunan 40 mata antara 2007 dan 2003.

Pada April 2011, Kementerian Pendidikan mengumumkan hasrat untuk membenarkan semula pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris untuk sekolah-sekolah terpilih.[58]

Pada 4 November 2011, Kabinet Malaysia telah memutuskan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah "kekal" dan kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti dituntut sesetengah pihak. Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga merangkap sebagai Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PPSMI di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam Bahasa Melayu sepenuhnya pada 2016, manakala di sekolah menengah bagi kedua-dua mata pelajaran itu akan dilaksanakan sepenuhya pada 2021.

Kabinet juga memutuskan untuk membenarkan murid kohort PPSMI untuk meneruskan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris sehingga Tingkatan Lima.

Ini bermakna murid kohort PPSMI boleh memilih sama ada untuk meneruskan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun depan.[60]

Dalam perkembangan lain, Dalam satu wawancara televisyen di TV3 dalam program Soal Jawab yang disiarkan kepada umum pada jam 11.00 malam 9 November 2011, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengakui PPSMI yang dijalankan di Malaysia, telah menemui kegagalan dan tidak mencapai hasrat dan dasar kerajaan dalam menggunakan kaedah pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya beliau dilihat lebih berpendirian dalam menegakkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Walau bagaimanapun dalam wawancara tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menjelaskan secara terperinci tentang kesan dan nasib pelajar lepasan persekolahan yang akan melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi khususnya di Malaysia, yang kini rata-rata IPT (baik IPTA dan IPTS) menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium perantara pengajaran dan mengenepikan bahasa Melayu. Di Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dilihat hanya merupakan satu-satunya IPT di Malaysia yang telus dalam menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dan pembelajaran dalam kebanyakan kursus pengajian yang ditawarkan dalam pelbagai bidang.

Persepsi pelajar

Berdasarkan rekod Kementerian Pelajaran Malaysia, berkenaan dengan peratusan pelajar yang memilih untuk meneruskan pembelajaran bagi subjek sains dan matematik dalam bahasa Melayu, sebanyak 89 peratus pelajar Tingkatan Satu yang akan memulakan persekolahan 3 Januari 2011 memilih menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dan dwibahasa bagi mempelajari mata pelajaran Sains dan Matematik. Manakala hanya 11 peratus pelajar memilih belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sepenuhnya.

Berdasarkan peratusan tersebut, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini menunjukkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah tepat.

Beliau turut mendakwa, bahawa anggaran tersebut telah lama diramalkan, kerana itu kerajaan menetapkan untuk meminda PPSMI kepada MBMMBI.

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia menyifatkan dasar yang diputuskan itu sesuai dengan tahap keupayaan pelajar yang akan mengikuti proses Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) bagi Sains dan Matematik.

Jawatankuasa Khas MBMMBI merumuskan 164,324 pelajar bersetuju menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya untuk mempelajari Sains dan 161,123 dalam Matematik, berbanding 56,025 orang pelajar berhasrat menggunakan bahasa Inggeris untuk belajar Sains dan Matematik pula seramai 56,248 pelajar.

Selebihnya seramai 258,622 orang pelajar berhasrat untuk mempelajari Sains dan 261,600 orang lagi ingin pelajari Matematik dalam dwibahasa.

Tambahan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menubuhkan Majlis Bahasa Inggeris pada tahun 2012 bagi menentukan penanda aras dan tahap pencapaian BI pelajar dalam sistem persekolahan negara.

Katanya, majlis tersebut bakal berkelayakan sebagai tempat rujukan dan menentukan tanda aras bahasa itu akan menggunakan pakar dalam dan luar negara serta mengadakan kerjasama dengan Universiti Cambridge.

Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menetapkan mulai tahun depan beberapa sekolah dipilih menyertai projek rintis apabila ibu bapa boleh mengikuti perkembangan pelajaran anak mereka menerusi konsep maya.[61]

Rujukan

WikiPedia: Pengajaran_dan_Pembelajaran_Sains_dan_Matematik_dalam_Bahasa_Inggeris http://chedet.co.cc/chedetblog/2009/03/pengajaran-... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://www.bernama.com/bernama/v5/newsindex.php?id... http://gerakanmansuhkanppsmi.blogspot.com/ http://peguampas.blogspot.com/2007_11_01_archive.h... http://shaharirbmz.blogspot.com/2009/02/sangkalan-... http://tehranifaisal.blogspot.com/2009/01/aparthei... http://books.google.com/books?id=meOqHuXwupkC&pg=P... http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cac...